top of page
Search

JADI 'SIDRATUL MUNTAHA' BERADA SELEPAS SUPERMASSIVE BLACK HOLE?

Updated: May 22, 2021




1. Bila tiba 27 Rejab, umum umat islam tahu ia tarikh Isra' Mi'raj. Walaupun ada banyak pendapat berkenaan tarikh ini, namun saya tidak mahu membincangkan lebih mendalam. Yang pasti peristiwa tersebut sememangnya menggambarkan kebesaran dan keagungan Allah S.W.T yang mampu melakukan apa sahaja diluar jangakauan intelek manusia. Atas hujah yang sama, Ummu Hani, sepupu Rasulullah S.A.W menasihatkan Nabi S.A.W supaya tidak menceritakan hal tersebut kepada masyarakat Quraisy ketika itu. Apabila cerita ini tersebar, ia menambah buruk tanggapan mereka terhadap agama yang dibawa oleh Muhammad S.A.W.


2. Seperti yang telah kita ketahui, Nabi S.A.W tetap menceritakannya kepada Quraisy ketika itu. Mungkin kita bertanya, bagaimana Nabi S.A.W berani menyampaikannya? Maka disinilah, letaknya batas antara percaya atau tidak percaya. Untuk baginda S.A.W, memang baginda pergi ke Masjidil Aqsa lalu dibawa naik oleh Allah S.W.T sampai ke Sidratul Muntaha. Jadi apa yang disampaikan oleh baginda S.A.W adalah apa yang benar-benar telah berlaku.


3. Untuk Quraisy, terutamanya Abu Jahal, ia adalah sebuah jenaka, "Hoi dengar sini, Muhammad kata, malam tadi dia pergi ke Masjidil Aqsa lepas tu naik ke langit ke tujuh kemudian pulang semula. Yang paling kelakarnya, dia buat semua ni satu malam!". Mereka cabar baginda S.A.W untuk bawakan bukti untuk mengesahkannya. Seperti yang dikatakan baginda S.A.W, ia benar-benar berlaku dan baginda S.A.W berjaya memperincikan rupa Masjidil Aqsa, serta unta putih kabilah yang sedang menuju ke Kota Mekah dan sampai ketika matahari terbit. Nah, semuanya benar. Mahu apa lagi? Sungguhpun kononnya mereka golongan yang memerlukan bukti (evident based), tapi setelah dibawakan bukti (yang mereka sendiri minta, bukan Nabi berusaha membawakannya), Quraish masih lagi memilih untuk tidak beriman.


4. Apa yang kita belajar dan faham, untuk menyampaikan kebenaran perlu dibawakan bukti (evident-based). Tetapi, untuk Saidina Abu Bakar R.A, prinsip begitu tidak terpakai. Untuk beliau, kebenaran ini kebenaran hakiki yang memerlukan iman untuk mempercayainya.

"Apa yang nak dipelikkan? Kalaupun Muhammad S.A.W bercerita lebih pelik dari itu, aku tetap akan memepercayainya!"


5. Sangat sukar sebenarnya, untuk sebuah penipuan kekal teguh kerana penipuan selalunya tidak berasas. Rumah tidak berpasak masa kan berdiri tegak. Iktibarnya sudah ada. Ingat kisah Nabi Yusuf A.S yang dizalimi oleh abang-abangnya? Setelah mereka humban Nabi Yusuf A.S ke dalam telaga, pulang ke rumah buat-buat cerita Nabi Yusuf A.S dimakan serigala. Akhirnya, abang-abang mereka jugalah yang pergi meminta bantuan kepada Nabi Yusuf A.S sewaktu Mesir dilanda panas kemarau. Saudara yang mereka dustakan, saudara tersebut jugalah tempat mereka meminta tolong! Dengan itu terbongkar segala penipuan abang-abangnya terhadap Nabi Ya'aqub A.S dahulu.


6. Malah, kalau ditilik betul-betul sirah, Nabi S.A.W tidak memperihalkan Isra' & Mi'raj itu sebagai sesuatu keajaiban. Nabi hanya sampaikan apa yang baginda S.A.W diperlihatkan. Tidak lebih tidak kurang. Baginda S.A.W tidak mahu asas agama didirikan atas perkara-perkara luarbiasa, ajaib dan hal-hal ghaib. Kecuali perkara-perkara سمعيات (syurga, neraka, sirat, mahsyar) yang wajib setiap umat Islam mempercayai. Islam mesti didirikan atas kefahaman serta aqidah yang jelas.


7. Ada dua jenis kebenaran, kebenaran berasaskan bukti dan kebenaran hakiki. Kebenaran berdasarkan bukti boleh saja berubah-ubah kalau ada bukti baharu yang menyalahi bukti lama. Namun, kebenaran hakiki ini tidak akan tertakluk kepada bukti kerana selama-lamanya ia tetap benar. Kunci untuk mempercayainya adalah aqidah yang jelas.


8. Syed Qutb menjelaskan (diterjemahkan dalam Inggeris) dalam Tafsir fi-Zilal, "The Prophet's trust in the truth of his message and the reality of his journey was such that he went on and told them, paying little heed to how they would receive his news". Disebabkan memang baginda S.A.W percaya benar apa yang disampaikan kepadanya, baginda S.A.W langsung tidak memikirkan reaksi Quraish terhadapnya kerana itu bukan soal menyampaikan kebenaran dan hanya kebenaran adalah soalnya.


9. Menjawab semula pertanyaan sahabat saya seperti tajuk di atas, pada mulanya saya fikir, supermassive black hole mempunyai graviti yang tersangat kuat dan memasuki kedalamnya menyebabkan anda tidak tertakluk dengan masa. Disebabkan itu baginda boleh pergi dan kembali hanya dalam satu malam. Tapi memikirkan semula, apa yang dinukilkan oleh Syed Qutb "What is familiar to us in our world is not to be taken as the criterion for making a judgement in relation to God's ability". Jadi saya fikir, tidak perlu supermassive black hole untuk semua ini berlaku. Hanya kehendak Allah, maka jadilah! Lagipun semua yang telah kita pelajari tentang bumi, sistem solar, galaksi bima sakti, malah supermassive black hole tidak sampai pun pada lapisan langit pertama.


96 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page