top of page
Search

MEMUPUK KEPERCAYAAN TERHADAP ANAK-ANAK

Updated: May 23, 2021


1. Dalam masyarakat kita, tidak banyak diceritakan keperibadian seorang bapa. Sosok hebat seorang lelaki selalunya membawa watak pemimpin negara, pengarah syarikat, dan apa sahaja watak seorang yang berjaya untuk dijadikan contoh. Oleh itu, saya ingin bawakan satu kisah lelaki hebat, yang kita selalu dengar tentang anakandanya Nabi Yusuf A.S. Lelaki tersebut adalah Nabi Ya'aqub A.S.


2. Mempunyai dua belas anak lelaki yang mana si abang yang lain berasa iri kepada yang seorang, Nabi Yusuf A.S, kerana perhatian ayah mereka kepada baginda. Sudah tentu Nabi Ya'aqub A.S memahami perkara ini. Syaitan sememangnya musuh nyata manusia! Abang-abang Nabi Yusuf A.S berpakat menjalankan rancangan jahat mereka kepada Nabi Yusuf A.S. Mereka memujuk Nabi Ya'aqub A.S membenarkan mereka membawa Nabi Yusuf A.S keluar bermain.


3. Memang Nabi Ya'aqub berasa tidak selesa untuk melepaskan Nabi Yusuf bersama-sama abangnya. Pada masa yang sama, tidak juga Nabi Ya'aqub mahu memberi gambaran yang baginda tidak mempercayai anak-anaknya. Mungkin itulah dilemanya ketika itu. Namun baginda memilih untuk memberikan kepercayaan kepada abang-abang Nabi Yusuf. Setelah semua ini kita pun tahu apa kesudahannya. Abang-abangnya menghumban Nabi Yusuf ke dalam perigi dan diselamatkan pedagang yang lalu mendapatkan bekalan air.


4. Nabi Ya'aqub memilih untuk memberikan kepercayaannya kepada abang-abang Nabi Yusuf. Walaupun di dalam hal ini, kepercayaannya telah dikhianati, namun tetap seorang bapa perlukan keberanian begini. Lebih-lebih lagi untuk Nabi Ya'aqub yang dianggap lebih menyayangi Nabi Yusuf, ini adalah cara baginda untuk menunjukkan hal itu tidak benar.


5. Kepercayaan adalah perkara yang sangat penting untuk mematangkan anak-anak. Ia juga mengajarkan mereka perihal bertanggungjawab. Perkara sebegini perlu dilatih sejak kecil. Meminta anak-anak menyelesaikan suatu tugas, mencuci kereta sebagai contoh, akan membangkitkan keterujaan mereka melakukan sesuatu yang baharu. Kanak-kanak selalunya mengimpikan untuk melakukan apa yang dilakukan oleh seorang dewasa. Kalau tidak, tiadalah Kidzania!


6. Namun kepercayaan juga datang dengan akibat, samada baik atau buruk. Dalam hal Nabi Ya'aqub, baginda diuji dengan kehilangan yang bukan kepalang. Empat puluh tahun lamanya terpisah dengan Nabi Yusuf. Sampai putih mata menangis. Fitrah manusia berasa sedih. Namun Allah lah tempat kita memulangkan perkara setelah kita berusaha. Fasobrun Jameel (kesabaran yang sangat indah). Itu diucapkan baginda ketika menerima berita tersebut. Tidaklah layak bagi seorang rasul itu jadi hilang pertimbangan mendengarkan berita buruk. Kesal? Hidup mesti diteruskan, Nabi Ya'aqub mengembalikan hal tersebut kepada Allah.


7. Ada banyak perkara yang boleh mengubah keputusan yang kita ambil sebagai bapa. Anak-anak kita tidak selamanya berada dibawah pengawasan kita. Satu hari mereka juga akan menjadi dewasa dan membuat keputusan sendiri di dalam hidup. Selagi ada masa berbaki sebelum menginjak dewasa, berusahalah sebaik mungkin mengasuh mereka menjadi pemuda pemudi yang kita harapkan. Selebihnya, pulangkan perkara tersebut kepada Allah.



3 views0 comments
bottom of page